JOHOR BHARU: Seorang guru tuisyen yang dikenali sebagai Mohd Nazaruddin Yusoff, 50 menjadi antara dua individu pertama didakwa dibawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat dan dihadapkan di Mahkamah Sesyen setelah menerbit dan menyebarkan berita palsu sehingga boleh mendatangkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.

Pada April lalu, tertuduh telah memuat naik sekeping gambar ke akaun Facebook miliknya dengan profil ‘Mohd Nazaruddin Yusoff’ yang memaparkan seorang anggota polis dilihat terbaring dengan beberapa anggota polis memberi bantuan dengan keterangan gambar, ‘Mati lagi…di Pontian, vaksin kedua’.

Berdasarkan kertas pendakwaan, Mohd Nazaruddin didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang boleh membawa hukuman didenda maksimum sehingga RM100,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya serta denda selanjutnya maksimum RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu melakukan kesalahan di pejabat Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian pada 11.50 pagi, 21 April lalu.

Hakim memerintahkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Julai ini bagi pengurusan kes dan penyerahan dokumen.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman. -TPP