PUTRAJAYA: Mendapatkan kerakyataan bagi sesebuah negara adalah sesuatu yang sentiasa diinginkan oleh mana-mana individu. Secara umumnya, melalui status kerakyatan yang sah, maka akan terdapat beberapa kelebihan yang diterima khususnya daripada segi hak untuk mengundi dan hak mendapat akses bantuan daripada sesebuah kerajaan pemerintah.

Di Malaysia, status kerakyatan warganegara untuk diperolehi secara jelas telah diperincikan didalam Perkara 14, hingga Perkara 21 Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan-peruntukan yang dinyatakan didalam Perlembagaan hendaklah dilaksanakan sepenuhnya bagi membenarkan hanya mereka yang berkelayakan sahaja layak menerima taraf warganegara.

Namun dalam usaha memberi kerakyataan ini, kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Negara hendaklah memainkan peranannya dalam memastikan hanya mereka yang telah memenuhi kriteria sahaja layak diberikan hak warganegara.

Dalam pada itu, isu lambakan kad pengenalan palsu juga menjadi kegusaran orang awam memandangkan dengan pemalsuan kad pengenalan akan hanya menidakkan rakyat yang sepatutnya mempunyai hak atas nama warganegara.

Sindiket pemalsuan kad pengenalan ini dilihat banyak menular dalam kalangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui rakyat tempatan yang menjadi tali barut.

Gesaan untuk meningkatkan tahap kualiti kad pengenalan sedia ada bertujuan mengelakkan kes pemalsuan kad pengenalan ini berulang.

Tambahan lagi, kerajaan turut diminta untuk menilai kembali kaedah dan kriteria dalam pemberian kerakyataan warganegara bagi memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja diberikan status warganegara. -TPP