PUTRAJAYA: Desas desus berhubung hubungan di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO dilihat mempunyai kesahihannya apabila Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim berunding dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam dakwaan itu, beliau merujuk tentang tindakan Presiden PKR itu untuk membentuk kerajaan melalui rundingan dengan ‘Kluster Mahkamah’.

Respon berhubung reaksi DAP berhubung pertemuaan itu, beliau mendakwa bahawa DAP mungkin boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tentang inisiatif PKR itu, tetapi lebih baik ia dilakukan tanpa mengubah sejarah.

Mengulas lanjut berhubung beberapa kenyataan pihak tertentu berhubung Langkah Sheraton yang menyatakan bahawa Anwar didekati untuk menyertai rampasan kuasa untuk membentuk kerajaan yang hanya berbangsa Melayu tetapi menolak tawaran tersebut kerana syaratnya adalah mengecualikan DAP.

“Mungkin pandangan tersebut bertujuan untuk memberi ingatan kepada pimpinan DAP supaya bersyukur dan tidak mempersoalkan tindakan Anwar berunding dengan Ahmad Zahid dan Najib dari UMNO.

Memetik kenyataan menerusi blognya, beliau turut mengulas bahawa, “Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju tentang inisiatif PKR untuk membentuk kerajaan melalui rundingan dengan ‘Kluster Mahkamah’. Tetapi adalah lebih baik ia dilakukan tanpa mengubah sejarah,”.

Baru-baru ini, Pemangku Ketua Bahagian UMNO Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid meminta agar Presiden UMNO itu menjelaskan kepada akar umbi berhubung pendirian UMNO adakah mesra DAP-PH atau sebaliknya kerana isu itu dilihat sedang berlegar-legar dan akar umbi ingin tahu secara lebih terang.

Oleh itu, dalam kesempatan Perhimpuan Agung UMNO yang dijangka berlangsung pada hujung bulan ini adalah medan yang tepat untuk Zahid membuat penjelasan sekaligus memastikan dasar ‘No DAP, No Anwar’ masih kekal relevan.

Terdahulu, didalam satu wawancara bersama portal dalam talian, Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengatakan Anwar dijemput untuk membawa PKR menyertai Langkah Sheraton.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa itu mendakwa Anwar pernah ditawarkan untuk menggantikan Pakatan Harapan (PH) sebagai Kerajaan Persekutuan tetapi Ketua Pembangkang itu menolak tawaran tersebut.

Sementara itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut dilaporkan berasa terkejut dengan kenyataan Nik Nazmi itu yang mengatakan Anwar dijemput untuk membawa PKR menyertai Langkah Sheraton.

“Ini adalah kali pertama saya mendengar cerita bahawa Anwar telah dijemput untuk membawa PKR untuk menyertai Langkah Sheraton, namun presiden PKR tersebut telah menolak tawaran untuk menyertai kerajaan baharu tersebut dan memilih untuk kekal setia dengan PH,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, beliau telah berjumpa dengan Anwar berkali-kali selepas gerakan politik yang membawa kepada kejatuhan PH itu.

Namun, jelasnya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tidak pernah sekali pun menyebut mengenai dakwaan itu walaupun telah beberapa kali bertemu dengan Anwar selepas Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu.-TPP