KUALA LUMPUR, 3 Nov — Mempersoalkan maruah, profesionalisme dan altruisme lebih 400,000 penyumbang kesihatan Cuba, yang telah 56 tahun, menjalani misi di 164 negara adalah tidak bermoral dan tidak dapat diterima, kata Duta Cuba ke Malaysia Ibete Fernandez Hernandez.
Menurut Hernandez, kerajaan Amerika Syarikat (AS), yang berhasrat untuk memperketatkan lagi sekatan itu, telah mengatur kempen bagi mencemarkan nama para doktor Cuba sejak 2019 dan “malah mengancam akan memotong bantuan kewangan kepada negara dan pelbagai organisasi sekiranya mereka menerima pakar perubatan Cuba”.
“Kebebasan apakah itu, demokrasi manakah yang diamalkan mereka,” kata Hernandez dalam kenyataannya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata Cuba telah menerima permintaan daripada pelbagai kerajaan untuk membantu memerangi COVID-19 kerana pengalamannya di sektor kesihatan.
“Bagi Cuba, akses kepada kesihatan adalah hak asasi manusia dan tidak ada yang lebih penting selain memeliharanya.
“Sangat mengejutkan bahawa dalam usaha Cuba untuk mengutamakan perpaduan dalam konteks semasa, dan dengan mempertimbangkan” keprihatinan berterusan “pemerintah Amerika Syarikat ke atas rakyat Cuba, yang dianggapnya ditindas dan dilucutkan hak, ia telah mengenakan sekatan untuk mencegah bantuan kemanusiaan sampai ke Cuba, serta bekalan untuk keperluan penduduknya; adakah ia ironi atau hanya ucapan dan tindakan yang bertentangan? ” soalnya.
Beliau berkata disebabkan sekatan yang semakin ketat ke atas ekonomi, komersial dan kewangan yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap Cuba, yang diperburukkan lagi oleh pandemik COVID-19, Cuba belum mampu membahagikan sumbernya dengan pihak lain di dunia yang memerlukannya.
Menurutnya Cuba menjadi negara pertama di Amerika Latin dan Caribbean dan ke-30 di dunia yang mempunyai calon vaksin COVID-19 Soberana 01 (Sovereign 01) setelah mendapat kebenaran untuk ujian klinikal.
“Cuba, mempunyai sistem kesihatan yang tersusun berdasarkan pencegahan dan pekerjaan masyarakat, telah berjaya menunjukkan sekali lagi tahap kesediaan yang tinggi untuk menghadapi situasi bencana dan wabak penyakit,” katanya.
Hernandez berkata sebagai sebahagian daripada rancangan penting itu, Cuba juga mempelajari pengalaman negara-negara pertama yang terjejas dengan pandemik dan berada dalam situasi lebih kritikal, dan juga protokol antarabangsa.
Pelan itu telah dirancang dan diterima pada tahap pra-epidemik dan peringkat wabak, dengan langkah-langkah sesuai mengikut kesukaran masing-masing, katanya.
“Bermaksud, Cuba berjaya menguruskan penularan virus pada tahap rendah.
Mengenai serangan di Kedutaan Cuba di Washington pada 30 April lalu, Hernandez mengatakan pemerintah AS mesti mengakui dan secara terbuka mengecam sifat pengganas serangan itu dan berkongsi dengan Cuba semua maklumat yang diperolehinya.
“Terdapat lebih banyak lagi contoh layanan berbeza seperti yang berlaku kepada Cuba hari ini. Esok, ia mungkin dialami negara lain.
“Cuba komited untuk menghormati hak asasi manusia, prinsip hidup berdampingan secara damai, dan menghormati kedaulatan semua negara. Pulau ini tidak akan berhenti bekerjasama dan memperluas perpaduannya walaupun terdapat ancaman. Dengan pencapaian Cuba ini, tidak ada pencerobohan dalam apa jua bentuk pun dibenarkan,” tambah duta itu.
— BERNAMA
Recent Comments