KUALA LUMPUR, 3 Nov — Azerbaijan, yang ketika ini berperang dengan Armenia, menerima sokongan padu di peringkat global, kata Presidennya Ilham Aliyev.

Aliyev berkata ia sekali lagi membuktikan tujuan Azerbaijan “berlandaskan kebenaran … kita memulihkan integriti wilayah kita, berperang di wilayah kita sendiri.”

“Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) adalah organisasi antarabangsa kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyatukan 120 negara. Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga turut menyokong kami. Pada masa sama, ia (sokongan) melambangkan sikap negara-negara dalam organisasi ini terhadap Azerbaijan,” kata Aliyev.

Azerbaijan, yang menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak NAM ke-18 pada 2019, adalah Pengerusi NAM sekarang.

Aliyev berkata selain Turki, ketua-ketua negara dan pemerintah negara-negara yang menjadi rakan dan bersaudara juga menyatakan sokongan kepada Azerbaijan.

“Saya (juga) gembira Majlis Kerjasama Negara Berbahasa Turki  menyokong kami dan mengeluarkan kenyataan yang sangat penting. Ini adalah manifestasi kesatuan dan perpaduan di antara negara-negara berbahasa Turki,” katanya.

Aliyev membuat kenyataan itu dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Negara-Negara Berbahasa Turki Baghdad Amreyev, Presiden Kesatuan Dewan dan Pertukaran Komoditi Turki Mustafa Rifat, Ketua Dewan Perdagangan dan Industri Uzbekistan Adham Ikramov dan Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Kyrgyzstan Marat Sharshekeev, pada Isnin.

Teks ucapan Aliyev yang disiarkan Agensi Berita Azerbaijan (AZERTAC), disediakan untuk Bernama oleh Kedutaan Azerbaijan di Malaysia.

Presiden Azerbaijan itu juga berkata perang sudah berlangsung selama lebih sebulan dan banyak penempatan yang dijajah telah dibebaskan.

“Kami mengajar penceroboh dan mengusir mereka dari tanah kami. Setiap minggu, puluhan penempatan baharu – bandar dan kampung – dibebaskan dari penjajah, dan Tentera Azerbaijan meneruskan operasi dengan berjaya,” katanya.

Aliyev berkata jika Armenia mematuhi janjinya untuk menarik tentera dari wilayah Azerbaijan, Azerbaijan bersedia menghentikan serangan balasnya.

Beliau berkata Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan telah mengirim surat kepada Presiden Rusia Vladimir Putin meminta bantuan ketenteraan.

Menurut Aliyev, ia sama sekali tidak dapat diterima.

“Tiada asas untuk tindakan tersebut. Kami menewaskan dan mengusir musuh dari tanah kami. Kami belum menyerang Armenia. Ini yang pertama. Kedua, Rusia adalah pengerusi bersama Kumpulan Minsk dan, seperti semua pengerusi bersama, ia mesti bersikap berkecuali, seperti yang disyaratkan oleh mandat kepada pengerusi bersama yang diberikan kepadanya oleh OSCE (Organisasi untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah),” kata presiden itu lagi.

Rusia yang mempunyai pangkalan tentera di Armenia, mempunyai perjanjian pertahanan dengan Yerevan.

Kementerian Luar Rusia pada Sabtu berkata Moscow akan memberikan semua bantuan yang diperlukan kepada Armenia sesuai dengan perjanjian 1997 antara kedua-dua negara jika pertempuran meletus ke wilayah Armenia.

— BERNAMA