JAKARTA, 3 Nov — Sebanyak 40 juta warga Indonesia mendaftar untuk menyertai program kad prakerja iaitu satu program khusus bagi membantu golongan yang hilang pekerjaan susulan impak ekonomi akibat COVID-19.

Pengarah Eksekutif Program Kartu Pra Kerja Denni Puspa Purbasari berkata, angka berkenaan adalah berdasarkan statistik terkini setakat Oktober 2020.

Pada April lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan peruntukan sebanyak Rp20 trillion, bagi memberikan latihan kepada mereka yang layak untuk mengikuti program latihan pekerjaan menerusi dalam talian.

“Jumlah berkenaan (40 juta) itu melibatkan mereka yang mendaftar di 514 kabupaten (daerah) dan kota-kota di seluruh Indonesia. Namun hanya 5.59 juta sahaja yang diterima setakat ini bagi mengikuti program berkenaan,” katanya menerusi webinar bertajuk ‘Peranan Program Kartu Prakerja’ hari ini.

Menerusi program berkenaan, setiap peserta akan mendapatkan insentif sebanyak Rp 3.5 juta iaitu Rp1 juta (RM284) digunakan sebagai kos pembiayaan latihan dan bakinya diberi berperingkat-peringkat selama empat bulan, untuk perbelanjaan keperluan asas dan harian.

Denni Puspa berkata, mereka yang mendaftar adalah terdiri daripada mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang tidak lagi belajar dan yang sedang mencari pekerjaan dan yang hilang pekerjaan.

Sebanyak 900 latihan dalam talian dalam pelbagai bidang, antaranya teknologi komunikasi, akauntan, pengurusan warung makanan, bahasa Inggeris dan pengendalian perkemasan, serta program latihan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan baharu.

Menurut data Kementerian Tenaga Kerja Indonesia, setakat Julai lepas, lebih 3 juta hilang pekerjaan di Indonesia akibat pandemik COVID-19, tidak termasuk mereka yang berpendapatan harian.

Tiada data terbaharu yang dikeluarkan kementerian berkenaan setakat ini.

— BERNAMA