Kota Kinabalu- Kebimbangan rakyat Sabah sebelum ini berhubung lambakan warganegara Filiphina di negeri bawah bayu itu kini boleh menarik nafas lega. Hal ini demikian, setelah kerajaan Persekutuan melalui Wisma Putra dalam kenyataan Menteri Luarnya menegaskan bahawa tiada sebarang ruang pintu rundingan akan dibuka terhadap kerajaan Filiphina dalam isu tuntutan negeri Sabah.

Selain itu, ditambah pula dengan tindakan pantas yang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri dibawah Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang telah mengarahkan agar tiada lagi dokumen IMM13 dikeluarkan oleh pihak kementeriannya.

Pada Jun lalu, kerajaan telah bersetuju akan menjadikan dokumen IMM13 sebagai pengenalan tunggal kepada semua warga asing dari Filipina yang tinggal di Sabah. Keputusan berkenaan dibuat selepas beliau melawat, mendengar dan berbincang dengan semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sabah. Penyelarasan semula melibatkan hampir 136,000 pemegang pelbagai kad Pendaftaran Warga Asing di Sabah seperti HIF22, Kad Burung-burung, Sijil Banci dan IMM13.

Namun, bermula September lepas kerajaan tidak lagi mengeluarkan lagi dokumen IMM13 kepada mana-mana warga asing. Kasrina Hamid, 44 ketika ditemui turut menyokong tindakan kerajaan yang tidak lagi mengeluarkan sebarang dokumen kepada pendatang asing.

“Ini yang kami mahu. Kerajaan perlu lebih ketat terhadap warganegara asing. Jangan biar mereka boleh tinggal di negeri ini dan jangan keluarkan lagi sebarang dokumen membenarkan mereka tinggal disini”, katanya ketika ditemui disini.

Sementara itu, Zaili Mu’in Sido, 51 turut yakin bahawa tindakan yang diambil ini akan dapat memelihara keselamatan Sabah daripada ancaman pihak luar.

“Bagus kerajaan ambil tindakan tegas ini kerana bila tiada lagi orang luar masuk, negeri ini akan lebih selamat dan tiada masalah jenayah yang sebenarnya banyak dibuat oleh warga asing”. – TPP