BEIJING, 1 Nov — Sambutan ‘Hari Bandar Sedunia 2020’ anjuran bersama Kementerian Perumahan dan Pembinaan Bandar dan Desa China, kerajaan wilayah Fujian dan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) telah diadakan di bandar Fuzhou, Fujian semalam.
Acara kali ketujuh itu dihadiri pegawai kerajaan, pakar dan sarjana serta perwakilan komuniti perumahan dari China, Rusia, Jerman dan pertubuhan antarabangsa yang berkaitan, turut membincangkan topik utama mengenai “Hari Bandar Sedunia”.
Perbincangan turut menumpukan hal menaik taraf mutu dan kualiti komuniti perumahan dan bandar selain berkongsi pengalaman dalam mendorong pembangunan perbandaran berkualiti tinggi serta menambah baik persekitaran kediaman manusia.
Naib Menteri Perumahan dan Pembinaan Bandar dan Desa China, Jiang Wanrong dalam ucapan perasmian acara itu berkata pengaruh “Hari Bandar Sedunia” semakin meluas di peringkat antarabangsa dan berperanan penting mendorong pembangunan perbandaran secara berterusan di samping melaksanakan “Agenda Pembangunan Berterusan 2030” serta “Agenda Bandar Baharu”.
Menurut beliau, China bersedia bersama dengan negara lain di dunia untuk terus melipatgandakan kerjasama di bidang perumahan dan pembinaan dalam dan luar bandar.
China juga bersedia mengadakan perbincangan selain berkongsi pengalaman praktikal dan langkah inovatif bagi meningkatkan mutu serta kualiti komuniti perumahan dan bandar di samping menyahut pelbagai cabaran untuk mewujudkan suasana kediaman lebih indah di bandar.
Pada acara itu turut ditayangkan video ucapan tahniah Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dan Naib Setiausaha Agung PBB yang juga Ketua Eksekutif (UN-Habitat) Maimunah Mohd Sharif.
Dalam ucapannya, Maimunah Mohd Sharif menyeru pelbagai negara agar mementingkan nilai komuniti perumahan dan menyeru masyarakat antarabangsa berusaha bersama-sama untuk merealisasikan visi “better city better life”.
— BERNAMA
Recent Comments